Ekonomi Sarawak diunjur berkembang 5% tahun ini

Ekonomi Sarawak diunjur berkembang 5% tahun ini
Share this:

RAI BERSAMA: Awang Tengah (lima kiri) dan tetamu lain pada makan malam Tahun Baharu Cina pada malam Sabtu.

LIMBANG: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ekonomi Sarawak diunjur akan berkembang kukuh pada kadar lima peratus pada tahun ini berbanding pertumbuhan ekonomi negara keseluruhannya.

Beliau menambah, prestasi tersebut disokong pertumbuhan pelaburan swasta selari dengan kerancakan aktiviti ekonomi domestik dan global.

Katanya Sarawak juga mengumumkan lebih RM11 bilion bagi belanjawan negeri tahun ini iaitu yang tertinggi dalam sejarahnya.

“Dengan prestasi ini kita menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak lebih tinggi berbanding kadar 4.7 peratus pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara,” katanya.

Awang Tengah berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Hockien Limbang di Dewan Suarah Limbang malam Sabtu lalu.

Turut hadir isterinya Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Pertanian Dr Abdul Rahman Ismail, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah dan ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang.

Hadir sama Residen Bahagian Limbang Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said,  Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok dan Wali Kota Majlis Daerah Limbang Kaunselor Sufian Mohat.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak berkata, perkembangan itu juga memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi di seluruh kawasan di Sarawak.

[Source: “Ekonomi Sarawak diunjur berkembang 5% tahun ini” published by Utusan Borneo]

Photo Credits: Utusan Borneo

Related Posts

Skip to toolbar