Kongres Bumiputera Kitar Semula Resolusi Lama, Kata Usahawan Melayu

Kongres Bumiputera Kitar Semula Resolusi Lama, Kata Usahawan Melayu
Share this:

Kongres Bumiputera kitar semula resolusi lama, kata usahawan Melayu

KUALA LUMPUR (1 September): HAMPIR tiada resolusi baru dalam Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN 2018) kelmarin untuk mengangkat kedudukan sosio ekonomi orang Melayu dan Bumiputera, kata profesional dan usahawan Melayu, sebaliknya kebanyakan resolusi yang diangkat seolah-olah kitar semula daripada beberapa kongres sebelumnya.

Mereka menyifatkan resolusi itu tidak menawarkan idea-idea baharu dan segar malah tidak juga memberi perhatian kepada landskap ekonomi masa kini yang ditunjangi digital.

Figure 1: Profesional dan usahawan Melayu menyifatkan resolusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) tidak menawarkan idea-idea baharu dan segar malah tidak juga memberi perhatian kepada landskap ekonomi masa kini yang ditunjangi digital. 

“Resolusi kongres tidak merangkumi banyak perkara. Ia sekadar mengitar semula isu (kongres sebelum ini). Penyelesaiannya tidak memandang jauh ke hadapan.

“Perkara seperti revolusi industri keempat dan pendigitalan ekonomi tidak disentuh dalam resolusi,” kata usahawan telekomunikasi Taufiq Hussein kepada The Malaysian Insight.

Beliau bagaimanapun mengakui banyaknya idea lama yang dilontarkan semula dalam resolusi kongres itu kerana kurangnya suara pemikir muda, yang lebih memahami kehendak ekonomi semasa.

Taufiq, 35, memberi contoh resolusi untuk membangunkan tanah wakaf dan tanah rizab Melayu yang diputuskan di bawah bidang penciptaan dan pemilikan kekayaan.

Tetapi ekonomi dunia sudah berubah dan kemajuan teknologi membolehkan usahawan sekarang menjana kekayaan tanpa memiliki harta, katanya.

“Sekarang ini kalau kita nak memulakan perniagaan hotel pun kita tidak perlu hartanah seperti Airbnb,” jelas Taufiq, merujuk kepada ekonomi disruptif yang muncul sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Airbnb yang berpangkalan di San Francisco, Amerika Syarikat ialah perkhidmatan penginapan yang memulakan perniagaannya pada 2008 dan kini memiliki 5 juta hartanah di 81,000 bandar di seluruh dunia mencakupi 191 buah negara.

Resolusi dalam bidang keusahawan dan perniagaan bagaimanapun menyebut tentang pendedahan dan latihan keusahawanan yang mengambil kira “kemunculan ekonomi baharu”.

KBN 2018 semalam mengemukakan 51 resolusi yang dipecahkan kepada enam bidang fokus utama iaitu: Nilai, Moral dan Etika; Pendidikan dan Modal Insan; Penciptaan dan Pemilikan Kekayaan; Perniagaan dan Keusahawanan; Tindakan Afirmatif, dan Pembentukan Strategi/Hala Tuju.

Kongres sehari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu bertemakan “Mendepani Cabaran Bumiputera dalam Malaysia Baharu”.

Resolusi Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara (KBN) kelmarin diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali untuk diteliti oleh pihaknya sebelum dibawa kepada kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 3 September, 2018.

Resolusi kongres kelmarin diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali untuk diteliti oleh pihaknya sebelum dibawa kepada kerajaan.

Sementara itu, Salihin Abang, 45, kecewa kerana kongres itu tidak menonjolkan idea besar seperti yang pernah datang daripada beberapa kongres yang sama sebelumnya – kekecewaan yang katanya dikongsi oleh beberapa orang rakan peserta kongres kelmarin.

Figure 2 : Encik Abdul Qaiyum Alidin, Encik Md Silmi Abd Rahman dan Tuan Haji Abdul Kadier Sahib bersama Encik Salihin Abang (dua dari kanan) di Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018.

Beliau menyebut penubuhan antaranya Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Bank Rakyat yang berbangkit daripada kongres ekonomi Bumiputera.

“Harapnya selepas ini boleh diadakan perbincangan yang kecil untuk perhalusi resolusi, dan kemudian kita boleh bentuk dasar yang konkrit, pelan atau merangka apa-apa program,” katanya.

Dua usahawan itu bagaimanapun memuji kongres dengan kehadiran lebih 2,500 peserta itu kerana menekankan aspek nilai dan integriti yang hendak dijadikan kekuatan pada Melayu dan Bumiputera.

Kata mereka, tiada gunanya maju ekonomi tetapi tidak berintegriti.

Menurut Salihin, kalau peniaga atau usahawan terlibat dalam rasuah dan mempunyai integriti yang lemah, itu jalan yang akan membawa kepada kehancuran bangsa dan negara.

Dalam pada itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mempertahankan kongres kali ini yang beliau sifatkan maju setapak berbanding beberapa kongres mengenai ekonomi Bumiputera sebelum ini.

Setiausaha Agungnya Hasan Mad berkata kongres itu sudah tidak lagi menumpukan pada soal bantuan atau inisatif kerajaan untuk membantu usahawan Melayu dan Bumiputera berniaga tetapi memberi fokus kepada jati diri.

“Kita tidak lagi bercerita orang Melayu pandai buat bisnes atau tidak, mereka sudah pandai tetapi masalah sekarang ini adalah soal integriti, moral dan nilai.

“Kita lupa sebagai orang Islam bila kita buat bisnes, kita korup,” katanya, dan menambah dasar kerajaan untuk mengangkat ekonomi Bumiputera selepas ini harus berteraskan nilai, moral dan akhlak.

“Jatuhnya kerajaan BN (Barisan Nasional) sebelum ini kerana membiarkan perkara ini terjadi. Kalau orang Melayu hendak maju semula, kita kena mengajar bagaimana hendak berniaga dengan penuh integriti supaya orang hormat kita,” jelasnya.

[Source: “Kongres Bumiputera kitar semula resolusi lama, kata usahawan Melayu” published by The Malaysian Insight]

Photo Credits: The Malaysian Insight

By Abdul Qaiyum Alidin

The life of an ordinary guy, an engineer, a scientist, and a social media. Enjoy and have fun!

Related Posts

Skip to toolbar