Kursus e-Pelancongan bakal dilancarkan November depan

Kursus e-Pelancongan bakal dilancarkan November depan
Share this:

KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian (MTAC) bekerjasama dengan Pustaka Negeri akan menyediakan kursus e-Pelancongan yang dilancarkan pada November depan.

Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ia merupakan pendekatan kementerian untuk melengkapkan pengendali dan pengusaha pelancongan untuk mengikuti e-Pembelajaran.

“Kementerian telah bekerjasama dengan Pustaka Negeri untuk menghubungkan Platform PANDei agar dapat akses ke kursus e-Pelancongan.

“Ia juga terbuka kepada siapa sahaja yang berminat mengenai pelancongan atau pemain industri pelancongan yang mahu mengetahui lebih banyak mengenai industri.

“Program adalah percuma dan peserta hanya perlu menghabiskan beberapa modul yang disediakan dengan fasilitator menerusi video serta beberapa tugasan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kursus Pemandu Pelancong Khas Wilayah (Kuching) Pengambilan 2020 di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, sebaik sahaja peserta kursus menamatkan beberapa modul yang disediakan mereka akan mendapat sijil daripada kementerian.

Beliau berkata, modul yang dibangunkan dalam talian e-Pelancongan itu dirumuskan untuk menyokong pembelajaran dan seiring dengan trend digital global serta inisiatif kerajaan negeri ke arah teknologi digital.

Empat modul berkenaan katanya, Kesedaran Pelancongan oleh MTAC, Pelancongan Bertanggungjawab oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Acara Perniagaan oleh Biro Konvensyen Sarawak (SCB) dan Program Duta Pelancongan Sarawak oleh STB.

Mengulas lanjut mengenai perancangan Sarawak dalam industri pelancongan, Abdul Karim berkata, kementerian bersama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak telah memulakan kajian Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga sebagai hala tuju untuk memulihkan industri pelancongan kesan COVID-19.

“Pelan Induk Pelancongan Sarawak Ketiga 2020-2035 tepat pada masanya selaras dengan usaha kita untuk pulih dari kesan COVID-19 dan membawa model perniagaan baharu serta strategi bagi kedua-dua permintaan serta tawaran dalam industri pelancongan.

“Pelan ini juga mengenal pasti dan mengembangkan hala tuju strategik dan rancangan tindakan untuk sektor pelancongan agar dapat memacu kedua-duanya dengan segera selain pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
 
Berhubung program kursus Pemandu Pelancong yang diadakan Abdul Karim  berkata, ia anjuran bersama kementerian dan Kolej SATT bagi mengatasi kekurangan pemandu pelancong di Sarawak.

Katanya langkah itu untuk meningkatkan lagi pelancongan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan industri pelancongan Sarawak.

“Kita memang menghadapi kekurangan pemandu pelancong dan menerusi program ini ia mampu mengatasi kekurangan dan saya percaya ia juga menjadi kerjaya alternatif kepada anak muda atau graduan kita yang menganggur,” katanya.

Menurut beliau sehingga kini di seluruh Sarawak hanya 169 orang pemandu pelancong berbanding Sabah yang dianggarkan mempunyai lebih kurang 2,000 pemandu pelancong.

Beliau berkata, menerusi kursus pemandu pelancong yang diadakan seperti itu ia sekurang-kurangnya mampu melatih kira-kira 500 pemandu pelancong kepada Sarawak.

[Source: “Kursus e-Pelancongan bakal dilancarkan November depan” published by Utusan Borneo]
By Abdul Qaiyum Alidin

The life of an ordinary guy, an engineer, a scientist, and a social media. Enjoy and have fun!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

Related Posts

Skip to toolbar