SEKTOR E-DAGANG JADI ‘PENAMPAN’ EKONOMI SAAT KESUKARAN AKIBAT COVID-19

SEKTOR E-DAGANG JADI ‘PENAMPAN’ EKONOMI SAAT KESUKARAN AKIBAT COVID-19
Share this:

Source: Published by Mohd Firdaus Ismail from MDEC on March 23, 2020

MASUK bulan ketiga dunia ‘membicarakan’ tentang virus Covid-19 yang kini dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia.

Sudah tentu impaknya besar terhadap ekonomi apabila pelbagai sektor termasuk perlancongan, penerbangan, perhotelan serta pembuatan terkesan dan berdepan dengan cabaran yang sangat sukar.

Malaysia sendiri tidak terkecuali apabila kerajaan pada bulan lepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM20 bilion.

Menariknya, antara yang diberi perhatian oleh kerajaan ialah sektor ekonomi digital yang mana Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) diberi dana sebanyak RM20 juta untuk program Perkhidmatan e-Dagang Setempat (PeDAS) bagi menaik taraf Pusat Internet Desa kepada hab e-dagang.

Jelas di sini bahawa ekonomi digital termasuk sektor e-dagang mampu menjadi ‘penyelamat’ ketika sektor utama berdepan ketidakstabilan akibat wabak berkenaan.

Menyingkap sejarah PeDAS, ia mula dilaksanakan pada hujung tahun lalu yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan MDEC.

Program berkenaan antara lain bertujuan memberi peluang kepada usahawan kecil dan sederhana untuk mengasah kemahiran dalam perniagaan e-dagang.

Ketika ini terdapat 10 pusat PEDAS di seluruh negara iaitu Tanjung Malim (Perak), Tanjung Kling (Melaka), Kuala Nerang (Kedah), Balik Pulau (Pulau Pinang), Kuala Kurau (Perak), Sungai Koyan (Pahang), Sungai Mati dan Pagoh (Johor), Kota (Negeri Sembilan) dan Beranang (Selangor) dengan kira-kira 50 peserta.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai PeDAS boleh mengunjungi laman web https://www.go-ecommerce.my/campaign/perkhidmatan-edagang-setempat.

Sementara itu, sektor peruncitan dalam talian juga masih rancak beroperasi apabila pelbagai syarikat  terus tampil membantu masyarakat yang ingin mendapatkan barangan keperluan selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 31 Mac ini.

Sebagai contoh, Jocom yang merupakan syarikat berstatus MSC Malaysia kini menggunakan tagline ‘stay home, stay safe’ dan ‘don’t panic’ menerusi platform media sosial mereka.

Ini penting bagi meyakinkan orang ramai bahawa dalam ‘tempoh berkurung’, syarikat berkenaan akan selalu ada untuk menghantar barangan yang dibeli selain menawarkan diskaun untuk beberapa barangan terpilih.

Satu lagi medium membeli-belah popular dalam talian, Lazada yang juga merupakan rakan strategik MDEC turut menampilkan beberapa promosi bagi membantu rakyat negara ini.

Syarikat berkenaan menggunakan tagline ‘Keep Calm and Shop From Home‘ bagi menenangkan rakyat yang ketika ini mungkin risau dengan perkembangan semasa Covid-19.

Dalam industri pelancongan pula, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri menyarankan penggiat industri pelancongan dan kebudayaan supaya memanfaatkan platform dalam talian bagi mempromosikan produk mereka ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebagai persiapan menarik semula pelancong selepas situasi wabak reda nanti.

Katanya, beliau melihat inilah masanya untuk meneroka sepenuhnya pasaran dalam talian untuk meningkatkan pendapatan.

#DigitalvsCovid

Related Posts

Skip to toolbar