PEREKA grafik, Firdaus Mustapa, menghasilkan poster bagi beberapa produksi antarabangsa sejak sedekad lalu.
KUALA LUMPUR: Kakitangan bahagian kreatif Media Prima Berhad (MPB), Firdaus Mustapa, mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Sophia pada acara Academia Portuguesa de Cinema di Portugal.
Pada acara yang berlangsung 28 Februari lalu itu, Firdaus, 37, diumumkan pemenang hasil kecemerlangannya menghasilkan poster bagi filem arahan Bruno Gascon, Carga.
Filem berbajet rendah terbitan Caracol Studios itu mengetengahkan isu pemerdagangan manusia yang membawa ke kancah pelacuran.
Menurut Firdaus atau nama penuhnya Mohd Firdaus Mustapa Rusely, dia difahamkan acara terbabit adalah seperti Anugerah Oscar bagi versi Portugis.
“Saya dimaklumkan mengenai kejayaan ini oleh pihak produksi filem terbabit menerusi Facebook, minggu lalu. Beberapa anugerah teknikal diumumkan lebih awal sebelum majlis kemuncak berlangsung.
“Saya amat bersyukur dengan kemenangan ini dan ia adalah anugerah pertama pada peringkat antarabangsa yang saya peroleh. Sebelum ini, saya memenangi kategori Poster Terbaik, Festival Filem Malaysia 2010 menerusi Belukar,” katanya ketika dihubungi BH Online, hari ini.
Kata Firdaus, Carga adalah kerjasama keduanya bersama produksi bebas yang berpangkalan di Portugal itu.
“Kami bekerjasama buat kali pertama pada 2014 menerusi filem pendek, Boy. Semuanya bermula apabila pihak berkenaan berminat melihat hasil kerja saya yang dikongsi di sebuah laman sesawang. Dari situ kami berhubung menerusi e-mel.
“Tidak sangka, tahun lalu produksi berkenaan ingin meneruskan kerjasama untuk filem sulung (Carga) terbitan mereka. Lalu, saya sediakan tujuh pilihan poster untuk penilaian produksi itu, Mac tahun lalu. Semuanya disiapkan dalam masa empat hari,” katanya yang mengaku sudah biasa bekerja dalam masa suntuk.
Bapa kepada seorang cahaya mata itu bagaimanapun berkata, dia tidak pernah mengejar anugerah dalam berkarya.
“Kerja kreatif seperti penghasilan poster lebih kepada keghairahan dan minat saya dalam meluahkan rasa atau emosi. Justeru, kemenangan dikira sebagai bonus. Saya sendiri puas apabila dapat berkarya dengan cara ini,” katanya.
Firdaus mula berkarya sejak sedekad lalu dan berkongsi ideanya bersama agensi di serata dunia, termasuk Hollywood. Kemenangannya pada FFM 23 menjadi kemuncak buatnya memberikan keutamaan dalam penghasilan poster sebagai skil penting.
Bekerja di MPB sejak 2010, Firdaus yang bermula sebagai pereka grafik banyak mencurahkan idea kreatifnya dalam program televisyen, termasuk Mentor 7.
Dia turut berkongsi hasil seninya di https://mfirdaus.squarespace.com
[Source: “Staf Media Prima menang anugerah filem di Portugal” published by Berita Harian]Photo Credits: Berita Harian / New Straits Time Press / Firdaus Mustapa