Sukan SEA: Kosong, ESM masih belum terima sebarang peruntukan daripada KBS

Sukan SEA: Kosong, ESM masih belum terima sebarang peruntukan daripada KBS
Share this:

SHAH ALAM – Kosong.

Itu angka yang dinyatakan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) apabila mendakwa pihaknya masih belum menerima sebarang peruntukan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) setakat semalam untuk mengadakan Acara Sesi Kelayakan Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA 2019.

Pemangku Presiden ESM Datuk Ananth S. Nathan berkata meskipun peruntukan tersebut telah dijanjikan untuk disalurkan bagi acara itu namun prosesnya terlalu mengambil masa.

“Mereka akan memberi peruntukan. Tapi apa guna beri peruntukan jika acara sudah pun berlalu? Kami faham ada proses yang perlu dilakukan, termasuk melalui beberapa jabatan namun mungkin semua pihak yang terlibat perlu mempercepatkan proses dan membantu kami.

“Acara mesti diteruskan. Jika kami hanya tunggu, kami tidak boleh lakukan acara pemilihan atlet negara.

“Kami faham situasi mereka, tapi dalam masa yang sama tolonglah fahami kami,” kata Ananth dalam satu sidang media selepas menghadiri Acara Grand Final Pemilihan Atlet E-Sukan ke Sukan SEA 2018, di Central i-city, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada mereka mendapat sebarang peruntukan daripada KBS untuk mengadakan acara tersebut.

Jelas Ananth, proses menyalurkan peruntukan itu perlu lebih efisyen untuk memastikan bakat-bakat e-sukan tanah air dapat dihasilkan dengan baik.

“Jadi apa yang berlaku, kami sering melakukan beberapa pertemuan dengan wakil daripada pihak berkaitan termasuk daripada KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN).

“Dalam mesyuarat, mereka kata akan tampil ke hadapan dan membantu tapi apa penting adalah apa yang berlaku sekarang. Acara pemilihan ini perlu diteruskan juga dan tidak boleh tunggu proses peruntukan itu selesai.

“Jadi kami memilih untuk terus ke hadapan, beberapa pergelutan dan cabaran kami perlu berdepan. Kami juga memaklumkan kepada persatuan negeri untuk bekerjasama dan memaklum kepada mereka yang kita berdepan dengan masalah kewangan dalam situasi ini,” tambah Ananth.

Beliau berkata pihaknya bersama persatuan-persatuan e-sukan negeri terpaksa mencari jalan termasuk mengumpul dana sendiri untuk sesi pemilihan atlet e-sukan negara.

Acara pemilihan atlet e-sukan berlangsung sejak April lalu bermula di peringkat negeri.

Setiap atlet e-sukan yang melepasi kelayakan peringkat negeri itu kemudiannya mara ke kelayakan peringkat kebangsaan yang berlangsung pada 29 April sehingga 1 Mei lalu.

Bagi pemain yang berjaya melepasi peringkat kebangsaan pula perlu melalui proses bootcamp yang masih belum diputuskan sama ada akan berlangsung pada Julai atau Ogos.

ESM merupakan badan pentadbir sukan elektronik di Malaysia dan didaftarkan di bawah Pejabat Suruhanjaya Sukan Malaysia.

Badan ini turut juga merupakan sebahagian daripada Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IeSF).

[Source: “Sukan SEA: Kosong, ESM masih belum terima sebarang peruntukan daripada KBS” published by wtmtoday.com]

Photo Credits: wtmtoday.com

Related Posts

Skip to toolbar